Sunday, 6 December 2015

Proses Pembuatan Pasu Aneka Corak

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini kami telah berjaya berfikir dengan kreatif untuk menjayakan penghasilan produk pasu kami ini. Langkah pertama yang kami lakukan ialah dengan mencantumkan 1 botol air mineral dengan sebahagian daripada mulut botol mineral yang lain untuk dijadikan bentuk pasu. Kemudiannya, kami mencarikkan surat khabar lama kepada cebisan-cebisan kecil.

Surat khabar lama dicarik kecil-kecil


Selepas itu,  cebisan-cebisan surat khabar itu dimasukkan ke dalam bekas dan ditambahkan air.





Cebisan-cebisan tersebut digaulkan dengan air dan dicarikkan lagi untuk memudahkan proses pembuatan pasu.
























Seterusnya, cebisan surat khabar basah itu ditampalkan ke botol dengan menggunakan gam sehingga membentuk sebuah pasu.







Selepas pasu itu kering, kapur kasut disapukan berlapis-lapis ke seluruh bahagian pasu sehingga ianya menjadi warna putih. Kapur kasut digunakan kerana ia boleh mengeraskan permukaan pasu tersebut serta menstabilkan pasu. 



Refleksi Kumpulan Budiman (Tahap Pengakhiran)

Refleksi Kumpulan (Tahap Pengakhiran)
Kumpulan Budiman

Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) telah menambah pengetahuan kami tentang Tamadun Islam, Tamadun Melayu, Tamadun Cina serta Tamdun India. Apa-apa yang kami perolehi pada hari ini adalah sumbangan daripada nenek-nenek moyang pada zaman yang lalu. Kami akan sentiasa menghayati jasa mereka dan terus mengembangkan ajaran mereka pada masa yang akan datang untuk mencipta tamadun yang lebih gemilang bagi kehidupan seluruh manusia yang lebih baik. TITAS telah membolehkan kami mengingati sumbangan tokoh-tokoh dulu dan pada masa yang sama mengajar kami agar mengelakkan atau tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan.

Dalam proses menjalankan tugasan yang diberi, kami telah mendapati bahawa kerjasama sesama ahli kumpulan dalam suatu kumpulan merupakan kriteria penting bagi  menyempunakan tugasan yang diberi. Apabila tidak dapat memikirkan cadangan yang baik, ahli kumpulan boleh melakukan brainstorming untuk menjana idea yang kreatif. Biarpun kreativiti semua ahli kumpulan  tidak tinggi, kami tetap mampu menghasilkan produk kami dengan bantuan satu sama lain. Kami telah memperbaiki cadangan yang masih mempunyai kekurangan dan akhirnya berjaya menghasilkan idea yang seperti dalam proposal kami. Selain itu, pembahagian kerja juga adalah sangat penting supaya kerja dapat disiapkan secara efisien dan dalam masa yang singkat. Mana-mana ahli tidak akan mampu menyiapkan tugasan berseorangan dengan berkesan tanpa bantuan ahli yang lain. Pembahagian kerja juga boleh mengelakkan kerja tertangguh. Walaubagaimanapun, jika terdapat ahli yang terlupa atau tertangguh kerjanya, kami perlulah sentiasa mengingatkan sesama kami agar menyiapkan kerja masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan supaya kerja keseluruhan kumpulan tidaklah terlambat. Apabila ada apa-apa keraguan, perbincangan sesama ahli kumpulan juga boleh membantu mencari cara penyelesaian.

Secara keseluruhan, pembentangan kuliah adalah lebih berkesan berbanding dengan mendengar kuliah daripada pensyarah semata-mata. Hal ini demikian kerana penbentangan telah menjadikan kuliah tidak terlalu bosan dan pelajar akan lebih sanggup bertanya terhadap pembentang yang juga terdiri daripada pelajar kerana kadang-kadang terdapat pelajar yang ragu-ragu untuk bertanya kepada pensyarah dalam kuliah, justeru pembentangan ini boleh membantu pemahaman pelajar terhadap kandungan kuliah. Walaubagaimanapun, kami berpendapat bahawa pembentangan kuliah juga ada kelemahannya. Misalnya, pelajar hanya memahami bab yang dikaji kerana mereka telah  membuat kajian secara lebih mendalam tentang topik pembentangan mereka tetapi kurang memahami bab-bab lain. Hal ini disebabkan cara pembentangan beberapa kumpulan yang tidak memaparkan isi kandungan dalam slide mereka dan hanya membentang secara menghafal isi yang disediakan. Walaupun ini merupakan kehendak pensyarah, kami mungkin tertinggal pembentangan atau terlepas isi-isi penting yang boleh mempengaruhi kefahaman secara keseluruhan. Lebih-lebih lagi, kami tidak mampu fokus sepanjang masa dalam kuliah tersebut.


Kesimpulannya, kursus TITAS mampu menambah pengetahuan sejarah dan menerapkan nilai-nilai murni tentang penghayatan jasa baik pelbagai tamadun di samping memupuk kerjasama dan kreativiti dalam kalangan mahasiswa.

Refleksi Kumpulan Budiman (Tahap Pertengahan)

Refleksi Kumpulan (Tahap Pertengahan)
Kumpulan Budiman
Bagi tugasan kumpulan yang pertama dan kedua, iaitu tugasan menghasilkan produk yang dikaitkan dengan tamadun dan tugasan pembentangan, masalah yang sama yang dihadapi dalam kedua-dua tugasan ini ialah tidak kira perjumpaan untuk membincangkan pembentangan ataupun untuk membincangkan projek, kami amat susah menentukan suatu masa di mana semua ahli kumpulan boleh hadir kerana ahli kumpulan kami adalah daripada program yang berbeza. Oleh itu, bagi yang tidak dapat hadir ke perjumpaan, kami akan memaklumkan perkara-perkara yang telah dibincangkan semasa perjumpaan dalam whatsapp group agar setiap ahli mengetahui perkembangan kerja terkini. 

Kami telah mengagihkan kerja menghasilkan pasu aneka corak kepada dua kumpulan kecil supaya masing-masing boleh mencuba cara yang berbeza yang dianggap sesuai dan menjimatkan masa. Kami telah menggunakan bahan terbuang seperti surat khabar dan botol air untuk menghasilkan pasu kami atas sebab menjimat kos dan juga mesra alam. Ketika percubaan pertama menghasilkan pasu, kami mendapati bahawa surat khabar tidak boleh ditampal terus ke botol air dalam bentuk kepingan besar dan tidak boleh menggunakan air untuk menggantikan gum kerana surat khabar tidak dapat melekat dengan ketat dan akan mudah jatuh. Oleh itu, kami telah menggunakan kaedah alternatif iaitu mencarikkan surat khabar kepada kepingan kecil dan menggunakan gum untuk melekat pada botol air. Walaupun kaedah ini mengambil masa yang lebih panjang, kaedah inilah yang paling berkesan dan amat menguji kesabaran. Masalah lain yang kami hadapi ialah kami mendapati agak susah untuk menghasilkan permukaan pasu yang licin kerana surat khabar yang dilekat pada botol adalah berdasarkan bentuk botol tersebut dan permukaan pasu bunga juga tidak rata atas sebab perbezaan ketebalan surat khabar yang dilekat. Kami juga pernah terfikir agar menggantikan botol air plastik dengan botol kaca agar lebih mirip pasu bunga yang benar dan botol kaca juga lebih berat lagi kukuh dan tidak mudah terjatuh. Akan tetapi kami tidak mampu mendapat botol kaca , oleh itu kami mengabaikan idea menggunakan botol kaca dan menumpu pada mengukuhkan pasu kami.

Percubaan kedua mengambil masa yang lebih panjang kerana penampalan carikan  surat khabar satu demi satu ke atas botol sangat mengambil masa dan juga sangat menguji kesabaran. Oleh sebab kami perlu menghadiri kelas daripada waktu pagi sampai waktu petang, waktu malam pula perlu menyiapkan banyak kerja rumah yang diberi oleh pensyarah dan kadang-kadang juga ada kelas ganti pada waktu malam, masa untuk menghasilkan pasu bunga menjadi lagi terhad. Masalah lain yang dihadapi ialah botol yang ditampal surat khabar mengambil masa yang sangat lama untuk kering sepenuhnya kerana kami telah menampalkan banyak lapisan ke atas botol supaya ketebalannya menjadi setara secara keseluruhannya. Tambahan pula, disebabkan botol mempunyai diameter yang berbeza pada setiap bahagian, contohnya bahagian tengah dan atas lebih kecil dan bahagian bawah lebih besar dan sebagainya, ketebalan surat khabar yang perlu ditampal hendaklah dikawal dengan berhati-hati supaya rupa pasu yang dihasilkan tidaklah menjadi tidak seimbang. Kami telah mengambil keputusan untuk menggunakan kapur kasut sebagai pewarna pasu. Sebelum kami boleh mewarnakan botol yang ditampal surat khabar, kami mestilah memastikan surat khabar telahpun kering sepenuhnya agar kapur kasut boleh melekat atas surat khabar dan warnanya tidak mudah meluntur. Akan tetapi kami mendapati oleh sebab terlalu banyak lapisan surat khabar telah ditampal dan banyak gam yang dibubuh, surat khabar mengambil masa yang lebih panjang daripada jangkaan untuk kering sepenuhnya.

Selepas itu, kami mewarnakan kapur kasut ke atas pasu kami, lapis demi lapis, dan setiap lapisan mestilah dipastikan kering sepenuhnya sebelum lapisan seterusnya disapu atas lapisan yang sebelumnya. Hal ini adalah untuk memastikan pasu betul-betul diwarnai putih. Langkah akhir barulah ialah melukis corak bunga pada pasu kami.

Oleh sebab poster hanya diminta pada akhir kuliah, kami menghadapi kesuntukan masa kerana tempoh ini bertindih dengan tarikh akhir banyak kerja kursus. Perancangan atur cara poster, pemilihan warna dan sebagainya juga mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kreativiti daripada ahli kumpulan. Dengan bersyukurnya kami akhirnya mampu menghasilkan poster kami.

Berbanding dengan tugasan menghasilkan pasu aneka corak, tugasan pembentangan tidaklah menghadapi masalah yang terlalu besar. Setiap ahli kumpulan telah terlibat dalam proses mengumpul isi-isi pembentangan dan selepas itu barulah kami menggabungkan isi-isi penting. Oleh sebab masing-masing mempunyai banyak kerja yang perlu disiapkan, kami terpaksa sentiasa mengingatkan satu sama lain dalam whatsapp group apabila terdapat mana-mana ahli kumpulan yang terlepas tarikh akhir untuk menghantar isi yang dikumpulkan kepada ahli yang bertugas untuk menggabungkan isi-isi tersebut. Selain itu, disebabkan pensyarah tiada menentukan tarikh pembentangan yang tetap untuk setiap kumpulan, kami dikehendaki bersiap sedia setiap minggu supaya boleh membentang pada bila-bila masa. Dengan ini, ahli kumpulan kami bergilir-gilir mengingatkan sesama satu sama lain agar menghafal dan membuat persediaan awal sebelum pergi ke kelas. Hal ini secara tidak langsung telah berjaya memupuk amalan baik membuat persediaan awal sebelum pembentangan penting.


Kesimpulannya, masa telah berlalu secara tidak dikesan apabila kami mencurahkan masa untuk menyiapkan tugasan kami. Kursus TITAS telah membolehkan kami mempelajari bukan sahaja ilmu tetapi kemahiran penjanan idea, pengendalian IT dan sebagainya yang tidak dapat dipelajari dalam kursus lain. 

Saturday, 5 December 2015

Refleksi Individu Nur Hazlin Ameiza binti Ameran A151715

Refleksi Individu
Oleh : Nur Hazlin Ameiza binti Ameran
A151715
            Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), merupakan kursus wajib yang perlu diambil oleh kami sebagai pelajar institusi pengajiaan tinggi. Kelas TITAS yang diambil oleh saya telah diketuai oleh pensyarah, Puan Fatin Hazwani @ Hasidah.
            Tugasan pertama yang diberikan adalah dengan memberikan informasi tentang Tamadun Islam dan Tamadun Asia yang saya tahu sebelum memulakan pembelajaran dalam kelas dalam bentuk slides. Hal ini menyedarkan saya bahawa saya sememangnya tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Walaubagaimanapun, saya mencuba sedaya upaya untuk menyiapkan tugasan ini dengan pengetahuan sedia ada.
            Tugasan kedua yang diberikan oleh pensyaraha ialah "capture scene" dimana kami perlu menangkap sebuah gambar dan mengenterpretasikan gambar tersebut dengan mengaitkan gambar tersebut dengan tamadun. Pada mulanya, saya agak keliru tentang tugasan ini walaupun telah diberikan penjelasan oleh pensyarah. Namun, setelah ditekankan lagi dengan informasi yang diberikan, saya dapat menangkap apa sebenarnya yang pensyarah inginkan. Saya telah menangkap scene dimana terdapat beberapa kumpulan belajar sedang mengadakan tournament hoki di Stadium Hoki 2, Seremban. Scene ini telah ditangkap ketika saya sedang bertugas sebagai ahli Bulan Sabit Merah Malaysia yang ditugaskan untuk merawat pemain-pemain hoki Universiti Kebangsaan Malaysia yang cedera. Scene sukan ini telah saya kaitkan dengan tamadun pada masa dahulu. Dalam tugasan ini saya dapat menangkap apa sebenarnya yang pensyarah mahu terapkan dalam diri kami. Pensyarah inginkan kami untuk berfikir dan berusaha mendapat informasi dengan mengaitkan scene pada masa sekarang dengan zaman tamadun pada masa dahulu ; apa perbezaan dahulu dengan sekarang?
            Tugasan ketiga adalah perbentangan kumpulan. Tajuk perbentangan yang kami pilih adalah "Konsep Ekonomi Islam". Melalui perbentangan ini, saya sekali lagi dapat menambah pengetahuan tentang ekonomi Islam. Sejujurnya, saya tidak meminati aspek ekonomi kerana saya berfikir bahawa saya adalah pelajar Sains, maka ekonomi adalah tidak penting bagi pelajar Sains seperti saya. Ini adalah tanggapan yang salah sama sekali. Setelah membuat kajian tentang ekonomi Islam, saya mula tertarik dengan usaha dan sumbangan yang diberikan oleh Khalifah Umar R.A. Saya tidak menyangka, ada pemimpin yang dapat memimpin negara mereka dengan baik sekali. Pemimpin menggunakan daya pemikiran yang kritis dan kreatif serta mementingkan keperluan rakyat. Perspektif saya terhadap ekonomi mula berubah sejak membuat kajian tentang pembentangan ini.
            Tugasan keempat ialah menghasilkan produk yang dicetuskan idea oleh tamadun terdahulu. Kumpulan kami memilih untuk menghasilkan pasu dimana tercetusnya idea membuat pasu ini adalah dari zaman tamadun China. Kami menghasilkan produk ini dengan menggunakan bahan kitar semula. Walaupun tidak seberapa cantik dan menyerlah, tetapi ia amat berguna dan kami telah mencuba sedaya upaya untuk menjayakan produk ini.
            Saya mendapati bahawa kekuatan (Strength) saya terletak pada dimana cara saya menguruskan tugasan yang diberikan. Saya mencuba sedaya upaya untuk memastikan setiap tugasan dilakukan dengan sempurna dan mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh pensyarah. Saya juga selalu memastikan setiap kerja dijalankan oleh setiap ahli kumpulan dan akan menegur jika ada yang tidak menyiapkan tugasan kumpulan dalam masa yang ditetapkan. Saya juga membantu memberi informasi tentang pengetahuan kepada ahli kumpulan saya yang tidak tahu.
            Kelemahan (Weakness) saya pula saya dapati bahawa saya sering gagal dalam memahami kriteria tugasan yang diberikan. Namun masalah ini dapat diatasi dengan bantuan pensyarah. Selain itu, terdapat kurangnya kerjasama antara ahli kumpulan. Bagi tugasan kumpulan, kami mempunyai batasan masa untuk berjumpa dan berbincang. Kami merupakan pelajar yang berbeza course jadi jadual kami tidak sama. Jadi kami menubuhkan satu kumpulan Whatsapp dimana segala pendapat dan idea telah dibincang di situ. Namun demikian, tidak semua ahli kumpulan memberikan kerjasama dalam perbincangan tersebut. Walaubagaimanapun, kami mencuba juga untuk menyiapkan tugasan dengan sempurna dan teliti.
            Peluang (Opportunities) yang saya dapat adalah segala proses penghasilan produk dan gerak kerja yang dilakukan dapat dilampirkan di dalam blog. Ini adalah salah satu peluang yang pensyarah beri dimana kami tidak perlu berjumpa beliau untuk bertanyakan tentang tugasan yang diberikan. Kami hanya perlu mengemaskini blog tersebut dan pensyarah akan membuat penilaian. Inisiatif yang digunakan oleh pensyarah kami dapat mengatasi masalah kami yang berlainan jadual dan tidak perlu mencari masa yang sesuai untuk berjumpa pensyarah.
            Ancaman (Threath) yang saya perhatikan sepanjang tugasan diberikan adalah saya terlalu mementingkan kesempurnaan dalam menjayakan tugasan kumpulan dan tidak memikirkan tentang kesibukan ahli kumpulan yang lain. Saya ingin menyiapkan dalam masa yang singkat tanpa memberi peluang kepada ahli lain untuk menyiapkannya. Namun, ancaman ini dapat diatasi dengan teguran dan dorongan ahli kumpulan ketikan menyiapkan tugasan ini.

            Melalui kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) ini saya dapat menyimpulkan bahawa kursus ini amat berguna dan juga penting untuk kita pelajari kerana dari tamadun dahulu lah kita boleh maju pada zaman sekarang kerana kebanyakan kesilapan pada zaman terdahulu telah dibaiki dan dibaikpulihkan pada zaman sekarang. Saya amat berterima kasih kepada pensyarah, Puan Fatin Hazwani @ Hasidah kerana telah memberikan tunjuk ajar dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Pensyarah juga memastikan kami dapat menyiapkan kerja dengan tuntas dan sempurna dengan memberikan guidelines.

REFLEKSI WAN NUR FILZAH BINTI WAN RAMLI A149463

REFLEKSI INDIVIDU
OLEH: WAN NUR FILZAH BINTI WAN RAMLI A149463

            Assalamualaikum saya ucapkan bagi pembuka kata untuk refleksi individu bagi kursus LMCW 2163 Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Syukur ke hadrat Ilahi kerana saya berpeluang untuk mempelajari kursus TITAS di mana kursus ini adalah wajib diambil oleh semua pelajar universiti di Malaysia untuk mempelajari dan memahami lebih mendalam tentang sejarah ketamadunan dunia. Kursus ini banyak memberi manfaat kepada saya secara langsung dan tidak langsung untuk mempelajari dan menghargai tamadun pada zaman dahulu yang banyak menyumbang kepada kepentingan pada zaman kini.
            Untuk tugasan pembentangan pertama, kami diberi peluang untuk memilih tajuk pembentangan dan “Ekonomi Islam” telah menjadi tajuk pembentangan pilihan kami. Hasil daripada persiapan untuk tugasan pembentangan tersebut, saya dapat mengkaji dan lebih memahami tentang konsep ekonomi Islam yang digunakan pada zaman dahulu. Perkembangan ekonomi Islam pada zaman itu banyak memberi impak pada sistem ekonomi pada zaman kini di mana ia memberi sumbangan yang sangat besar dari segi sistem kewangan dan pemberian zakat yang masih diamalkan pada zaman kini.
            Kursus TITAS ini telah mengajar saya untuk berfikir secara kreatif di mana ia merupakan kekuatan (Strength) untuk melakukan sesuatu perkara di mana kami telah ditugaskan untuk membuat satu produk yang berinspirasikan dari mana-mana tamadun untuk lebih menghayati ketamadun yang diaplikasikan pada zaman dahulu. Peluang (Opportunity) yang diberi oleh pensyarah telah kami gunakan dengan sebaik mungkin untuk memilih tamadun mana yang bersesuaian dengan produk yang kami bakal hasilkan.  Saya dan ahli kumpulan saya telah bersetuju untuk membuat produk iaitu pasu aneka corak yang berinspirasikan tamadun Cina. Seperti yang kita sedia maklum tamadun Cina sangat terkenal dengan seni tembikarnya kerana ia merupakan seni hias yang terpenting pada zaman itu. Kecantikan reka hias tamadun Cina ini telah memberi idea kepada kami untuk membuat sebuah pasu yang bercorakkan simbol bunga-bunga yang sering digunakan pada zaman tamadun Cina. Dengan cara ini kami diberi peluang untuk berfikiran kreatif untuk memberi pandangan dan pendapat untuk membuatkan pasu aneka corak ini kelihatan lebih cantik dan menarik.
            Kelemahan (Weakness) yang kami hadapi dalam persiapan melakukan tugasan tersebut adalah kesukaran untuk kesemua ahli kumpulan untuk berkumpul dan berbincang tentang penghasilan produk kami ini. Walaupun kami merupakan pelajar-pelajar dari fakulti yang sama iaitu Fakulti Sains dan Teknologi,  namun ketidaksamaan jadual masing-masing merumitkan kami untuk berjumpa dan berbincang bersama. Namun demikian, kami menggunakan alternatif lain untuk berhubung iaitu melalui “Whatsapp group” di mana kami dapat membincangkan proses kerja kami walaupun tanpa berjumpa. Selain itu, kami juga menhadapi sedikit kesukaran dalam menghasilkan produk pasu kami di mana pada percubaan pertama kami gagal untuk membuat pasu tersebut. Namun, dengan pandangan dan cadangan yang diberi oleh ahli kumpulan yang lain, kami dapat berfikir secara kreatif untuk membuat pasu tersebut dengan cara lain dan hasilnya kami berjaya membuat pasu dengan lebih baik dan stabil. Saya amat berpuas hati dengan ahli kumpulan saya serta kerjasama yang tunjukkan oleh ahli kumpulan saya.
            Seterusnya, ancaman (Threat) ialah pembuatan produk pasu yang kami hasilkan ini mungkin kelihatan mudah dibuat namun hakikatnya proses penghasilannya tidak begitu mudah dan ia mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Produk pasu aneka corak juga ini susah dibuat kerana barang-barang yang digunakan untuk membuat pasu ini susah untuk dijumpai dan susah untuk dicari. Oleh itu, kami banyak menggunakan barangan terpakai kerana barang-barang tersebut mudah untuk didapati serta tidak menggunakan kos yang tinggi untuk mendapatkannya.  Dengan cara ini, kami dapat menjimatkan perbelanjaan kami untuk penghasilan pasu tersebut.

            Secara keseluruhannya, kursus TITAS ini banyak memberi manfaat kepada saya dari segi menambah ilmu pengetahuan baru serta banyak melatih saya untuk menerapkan ‘skill’ baharu dalam membuat sesuatu perkara dan menyelesaikan suatu masalah. Saya juga menjadi lebih berkeyakinan untuk melakukan sesuatu perkara dengan berfikir secara kreatif dan keadaan ini sedikit sebanyak telah melatih diri saya untuk menjadi seorang mahasiswi yang lebih baik.

Friday, 4 December 2015

REFLEKSI FAEZATUL NAQUIAH BINTI MD ZIN A144597

REFLEKSI INDIVIDU
Oleh: FAEZATUL NAQUIAH BINTI MD ZIN A144597
Sepanjang saya mengambil kursus ini,saya dapat mengetahui banyak isu yang berkaitan dengan tamadun. Lebih-lebih lagi,apabila saya didedahkan dengan  ilmu ketamadunan pada zaman dahulu kala,di mana saya sendiri merasa bangga dengan pencapaian yang dilakukan oleh orang orang pada zaman dahulu. Kesenangan yang kami rasai pada masa kini adalah hasil daripada pemikiran serta usaha orang pada zaman dahulu mempelajari ilmu untuk menghasilkan sesuatu.
Dalam kursus ini, saya juga dapat membina keyakinan diri serta daya pemikiran kreatif saya dalam menghasilkan sesuatu produk yang dapat menghubungkan produk kami dengan mana-mana tamadun yang telah kami pelajari dalam kelas dan setelah itu,kami diuji dengan membentangkan produk kami dikhalayak ramai. Tugasan seperti ini cukup menduga kami untuk menyempurnakannya di mana kami terpaksa bekerjasama dengan ahli kumpulan yang tidak pernah saya kenali sebelum ini dan seterusnya kemudahan yang ada di sekeliling kami sangat terhad sehingga hal ini menyukarkan kami untuk berhubung antara satu sama lain selain ahli-ahli lain juga terikat dengan kerja lain yang lebih menyukarkan kami untuk membuat kerja secara bersama. Dalam proses menyiapkan tugasan ini,banyak elemen dan perkara yang kami perlu ambil kira.
Pertamanya, apabila kami diberikan tugas,kami dikehendaki untuk membina atau menghasilkan sesuatu produk yang menbawa imej ketamadunan dan dalam masa yang sama harus bersifat kontemporari dan boleh diterima oleh orang ramai . Setelah itu,kami perlu mengkaji sedikit sebanyak dan mempelajari mengenai tamadun yang ingin kami pilih dan seterusnya membina satu produk yang boleh mengaitkan tamadun yang telah dipilih.
Untuk itu,saya bersama ahli kumpulan lain telah mereka sejenis paku yang mengaitkan produk itu dengan tamadun cina.Seperti mana yang kita tahu, tamadun cina banyak menghasilkan barang-barang yang berbentuk hiasan dengan lambang tulisan cina atau perkataan cina pada barang tersebut. Jadi ,kami semua mengambil inisiatif ini untu menghasilkan produk tersebut.
Dalam tempoh kami menyiapkan tugasan yang diberi,kami diminta untuk mengemukakan segala gerak kerja kami dengan memuatnaik segala maklumat yang dapat dalam satu blog yang dibina sendiri oleh ahli kumpulan kami. Disitu, saya dapat ilmu baru di mana saya dapat mempelajari bagaimana untu mempromosikan produk kami pada khalayak ramai. Selain dalam bentuk blog,kami juga dikehendaki untuk membina satu poster untuk memperkenalkan produk kami pada orang ramai. Oleh itu, tugasan yang telah diberi ini sedikit sebanyak membantu skill saya dalam kemahiran IT dan kemahiran komunikasi sama ada secara maya atau realiti.

Banyak yang saya pelajari semasa saya mengambil kursus ini. Di sebalik mempelajari istilah tamadun, saya juga banyak mendapat input semasa di mana saya terpaksa mengupas isu-isu terkini dalam menghubungkan pelajaran ketamadunan ini. Oleh itu, kesimpulan yang dapat saya buat adalah kursus TITAS ini banyak membantu saya mengenali dunia luar.

REFLEKSI INDIVIVDU NOR AKMALIYAH BINTI MOHD ZAINAL A144601

REFLEKSI INDIVIVDU
Oleh NOR AKMALIYAH BINTI MOHD ZAINAL A144601
Kursus Tamadun Islam Dan Tamadun Asia banyak memberi impak positif kepada diri saya. Sepanjang mengambil kursus ini, banyak ilmu pengetahuan baru yang saya dapat di samping ‘softskill’ yang saya bina melalui kerja secara berkumpulan. Saya didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan berkaitan pelbagai tamadun yang merangkumi Asia dan Islam itu sendiri. Ilmu-ilmu seperti ini sukar untuk saya dapat di kursus lain dan hal ini menarik minat saya untuk mempelajarinya.
Selepas itu, saya diberi tugasan untuk mengambil suatu gambar dan perlu membuat huraian yang mengaitkan gambar tersebut dengan sesuatu tamadun. Hal ini memberi cabaran kepada saya disebabkan pada masa itu, saya berada di Sarawak dan kemudahan internet yang tiada di sana menyukarkan saya untuk menyiapkan tugasan. Walaubagaimanapun, saya sempat mengambil gambar sebuah kedai cenderamata ketika berada di sana dan mengaitkan gambar tersebut dengan topik ekonomi Islam yang saya telah pelajari di kelas. Hal ini juga memberi kelebihan kepada saya kerana kumpulan saya ditugaskan untuk membentangkan tajuk ‘ekonomi Islam’ pada minggu itu. Ilmu yang saya ada tentang topik itu sedikit sebanyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini.
Ketika menyiapkan tugasan pembentangan bertajuk ‘Ekonomi Islam’ , saya pastinya teruja kerana tajuk ini yang amat berkaitrapat dengan saya yang menjadikan perniagaan antara salah satu kerjaya saya. Tajuk ini memerlukan saya membuat sedikit kajian berkaitan Ekonomi Islam itu sendiri demi memastikan segala kemusykilan yang akan ditanya oleh pensyarah dan rakan sekelas ketika pembentangan saya nanti boleh saya jawab dengan baik.
Selepas itu, saya dan rakan-rakan diberikan peluang untuk memilih satu tamadun dan membuat produk berdasarkan tamadun tersebut.  ‘Opportunity’ yang diberikan oleh pensyarah telah saya dan rakan-rakan gunakan sebaik mungkin untuk memilih tamadun dan menghasilkan produk sekreatif yang boleh. Untuk membuat pilihan ,ia bukan suatu yang mudah kerana saya dan rakan-rakan perlu mengkaji dahulu tamadun tersebut dan perlu ada sedikit sebanyak pengetahuan berkaitan tamadun tersebut.
Setelah pelbagai kajian dilakukan , saya dan rakan-rakan sebulat suara memilih Tamadun China dan menjadikan pasu sebagai produk kami. Produk pasu yang kami hasilkan bukan hanya pasu semata-mata. Ia merangkumi aspek budaya, keunikan tamadun China dan juga diperbuat daripada bahan kitar semula. Sepanjang menghasilkan produk ini , saya dan rakan-rakan menghadapi sedikit kesukaran untuk berbincang dan menghasilkan produk disebabkan jarak perhubungan yang jauh antara kami. Hal ini pastinya memberikan ‘threat’ kepada saya untuk sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil tahu setiap proses yang dijalankan.Walaubagaimanapun,alat komunikasi seperti ‘whatsapp’ dan ‘facebook’ menjadi medan perhubungan saya dan rakan-rakan untuk menyelesaikan tugasan.
Strength’ saya dalam menghasilkan produk ini ialah saya sedikit sebanyak mempunyai pengalaman dan pengetahuan menghasilkan poster melalui software photoshope. Kekuatan ini telah saya gunakan untuk membantu ahli kumpulan saya dalam memberi idea dan menggunakan software photoshope ini dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.
Apabila kerja secara berkumpulan, pastinya kerjasama dan komitmen diperlukan dalam setiap ahli pasukan demi menyiapkan tugasan. ‘Weakness’ yang ada pada saya iaitu kurang ilmu berkaitan tamadun China itu sendiri telah dapat diatasi dengan bantuan ahli kumpulan saya. Mereka banyak mencurahkan idea dan buah fikiran dalam memastikan produk yang kami laksanakan mematuhi kehendak pensyarah.

Kesimpulannya, melalui kursus ini, banyak perkara baru yang saya perolehi dan hal ini bukan sahaja memberi impak positif kepada saya pada waktu ini malah juga ketika berada di alam pekerjaan nanti.