Sunday, 6 December 2015

Refleksi Kumpulan Budiman (Tahap Pertengahan)

Refleksi Kumpulan (Tahap Pertengahan)
Kumpulan Budiman
Bagi tugasan kumpulan yang pertama dan kedua, iaitu tugasan menghasilkan produk yang dikaitkan dengan tamadun dan tugasan pembentangan, masalah yang sama yang dihadapi dalam kedua-dua tugasan ini ialah tidak kira perjumpaan untuk membincangkan pembentangan ataupun untuk membincangkan projek, kami amat susah menentukan suatu masa di mana semua ahli kumpulan boleh hadir kerana ahli kumpulan kami adalah daripada program yang berbeza. Oleh itu, bagi yang tidak dapat hadir ke perjumpaan, kami akan memaklumkan perkara-perkara yang telah dibincangkan semasa perjumpaan dalam whatsapp group agar setiap ahli mengetahui perkembangan kerja terkini. 

Kami telah mengagihkan kerja menghasilkan pasu aneka corak kepada dua kumpulan kecil supaya masing-masing boleh mencuba cara yang berbeza yang dianggap sesuai dan menjimatkan masa. Kami telah menggunakan bahan terbuang seperti surat khabar dan botol air untuk menghasilkan pasu kami atas sebab menjimat kos dan juga mesra alam. Ketika percubaan pertama menghasilkan pasu, kami mendapati bahawa surat khabar tidak boleh ditampal terus ke botol air dalam bentuk kepingan besar dan tidak boleh menggunakan air untuk menggantikan gum kerana surat khabar tidak dapat melekat dengan ketat dan akan mudah jatuh. Oleh itu, kami telah menggunakan kaedah alternatif iaitu mencarikkan surat khabar kepada kepingan kecil dan menggunakan gum untuk melekat pada botol air. Walaupun kaedah ini mengambil masa yang lebih panjang, kaedah inilah yang paling berkesan dan amat menguji kesabaran. Masalah lain yang kami hadapi ialah kami mendapati agak susah untuk menghasilkan permukaan pasu yang licin kerana surat khabar yang dilekat pada botol adalah berdasarkan bentuk botol tersebut dan permukaan pasu bunga juga tidak rata atas sebab perbezaan ketebalan surat khabar yang dilekat. Kami juga pernah terfikir agar menggantikan botol air plastik dengan botol kaca agar lebih mirip pasu bunga yang benar dan botol kaca juga lebih berat lagi kukuh dan tidak mudah terjatuh. Akan tetapi kami tidak mampu mendapat botol kaca , oleh itu kami mengabaikan idea menggunakan botol kaca dan menumpu pada mengukuhkan pasu kami.

Percubaan kedua mengambil masa yang lebih panjang kerana penampalan carikan  surat khabar satu demi satu ke atas botol sangat mengambil masa dan juga sangat menguji kesabaran. Oleh sebab kami perlu menghadiri kelas daripada waktu pagi sampai waktu petang, waktu malam pula perlu menyiapkan banyak kerja rumah yang diberi oleh pensyarah dan kadang-kadang juga ada kelas ganti pada waktu malam, masa untuk menghasilkan pasu bunga menjadi lagi terhad. Masalah lain yang dihadapi ialah botol yang ditampal surat khabar mengambil masa yang sangat lama untuk kering sepenuhnya kerana kami telah menampalkan banyak lapisan ke atas botol supaya ketebalannya menjadi setara secara keseluruhannya. Tambahan pula, disebabkan botol mempunyai diameter yang berbeza pada setiap bahagian, contohnya bahagian tengah dan atas lebih kecil dan bahagian bawah lebih besar dan sebagainya, ketebalan surat khabar yang perlu ditampal hendaklah dikawal dengan berhati-hati supaya rupa pasu yang dihasilkan tidaklah menjadi tidak seimbang. Kami telah mengambil keputusan untuk menggunakan kapur kasut sebagai pewarna pasu. Sebelum kami boleh mewarnakan botol yang ditampal surat khabar, kami mestilah memastikan surat khabar telahpun kering sepenuhnya agar kapur kasut boleh melekat atas surat khabar dan warnanya tidak mudah meluntur. Akan tetapi kami mendapati oleh sebab terlalu banyak lapisan surat khabar telah ditampal dan banyak gam yang dibubuh, surat khabar mengambil masa yang lebih panjang daripada jangkaan untuk kering sepenuhnya.

Selepas itu, kami mewarnakan kapur kasut ke atas pasu kami, lapis demi lapis, dan setiap lapisan mestilah dipastikan kering sepenuhnya sebelum lapisan seterusnya disapu atas lapisan yang sebelumnya. Hal ini adalah untuk memastikan pasu betul-betul diwarnai putih. Langkah akhir barulah ialah melukis corak bunga pada pasu kami.

Oleh sebab poster hanya diminta pada akhir kuliah, kami menghadapi kesuntukan masa kerana tempoh ini bertindih dengan tarikh akhir banyak kerja kursus. Perancangan atur cara poster, pemilihan warna dan sebagainya juga mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kreativiti daripada ahli kumpulan. Dengan bersyukurnya kami akhirnya mampu menghasilkan poster kami.

Berbanding dengan tugasan menghasilkan pasu aneka corak, tugasan pembentangan tidaklah menghadapi masalah yang terlalu besar. Setiap ahli kumpulan telah terlibat dalam proses mengumpul isi-isi pembentangan dan selepas itu barulah kami menggabungkan isi-isi penting. Oleh sebab masing-masing mempunyai banyak kerja yang perlu disiapkan, kami terpaksa sentiasa mengingatkan satu sama lain dalam whatsapp group apabila terdapat mana-mana ahli kumpulan yang terlepas tarikh akhir untuk menghantar isi yang dikumpulkan kepada ahli yang bertugas untuk menggabungkan isi-isi tersebut. Selain itu, disebabkan pensyarah tiada menentukan tarikh pembentangan yang tetap untuk setiap kumpulan, kami dikehendaki bersiap sedia setiap minggu supaya boleh membentang pada bila-bila masa. Dengan ini, ahli kumpulan kami bergilir-gilir mengingatkan sesama satu sama lain agar menghafal dan membuat persediaan awal sebelum pergi ke kelas. Hal ini secara tidak langsung telah berjaya memupuk amalan baik membuat persediaan awal sebelum pembentangan penting.


Kesimpulannya, masa telah berlalu secara tidak dikesan apabila kami mencurahkan masa untuk menyiapkan tugasan kami. Kursus TITAS telah membolehkan kami mempelajari bukan sahaja ilmu tetapi kemahiran penjanan idea, pengendalian IT dan sebagainya yang tidak dapat dipelajari dalam kursus lain. 

No comments:

Post a Comment