Friday, 4 December 2015

Refleksi Individu (MINNY KONG MING HAN A150341)

Refleksi Individu 
(Oleh : MINNY KONG MING HAN A150341)

Tugasan pertama yang diberi dalam kursus TITAS ini ialah tugasan "Capture Scene". Saya sangat menikmati proses menyiapkan tugasan ini dan juga mesej yang ingin disampaikan melalui tugasan ini, iaitu kita haruslah menghayati dan menghargai sumbangan dari pelbagai tamadun. Melalui tugasan ini, saya berpeluang mengetepikan kerja rumah dan tugasan yang amat membebankan buat sementara masa dan menghayati dari hati serta memerhati perkara-perkara kecil yang berlaku di sekeliling saya. Saya telah mendapati rupa-rupanya terdapat banyak perkara yang menggembirakan, tidak kira betapa kecil, telahpun berlaku di sekeliling saya semasa saya menunduk dan sibuk dengan tugasan saya. Barulah saya tahu bahawa saya sebenarnya telah terlepas banyak perkara yang sepatutnya dihayati. Tugasan ini juga telah mengajar saya mengaitkan peristiwa harian dengan inspirasi tamadun.

Kumpulan saya telah memilih “Konsep Ekonomi Islam” sebagai tajuk pembentangan kami. Sebelum saya membuat kajian tentang tajuk ini, saya kurang mengambil tahu tentang apa yang dibincangkan dalam ekonomi Islam. Sebenarnya, bukan sahaja ekonomi Islam tetapi semua isu yang berkaitan dengan ekonomi pun saya langsung kurang memahami kerana tidak berminat walaupun saya tahu bahawa seseorang mahasiswa haruslah sentiasa peka terhadap isu-isu terkini. Saya akan cuba memperbanyak pengetahuan sekurang-kurangnya yang berkaitan dengan ekonomi negara sendiri melalui media massa ataupun surat khabar.

Dalam proses mencari maklumat untuk pembentangan, barulah saya tahu bahawa ekonomi Islam banyak berbeza dengan konsep yang diamalkan dalam masyarakat Cina dan ekonomi mereka juga banyak berkait rapat dengan agama mereka. Jika dibandingkan dengan konsep ekonomi masyarakat Cina, masyarakat Cina kurang mengaitkan ekonomi dengan agama mereka. Dalam masyarakat Islam, seseorang Muslim harus patuh kepada Tuhan dan kegiatan ekonomi juga haruslah berdasarkan ajaran dalam kitab tetapi masyarakat Cina tidak mempunyai konsep seperti dalam ekonomi Islam dan mereka tidak mempunyai Tuhan yang boleh memberi arahan tentang cara pelaksanaan ekonomi mereka.

Selain itu, ketika membuat perbincangan dengan ahli kumpulan, ahli kumpulan Muslim juga telah membantu pemahaman saya dengan menerangkan istilah-istilah yang sering diguna pakai dalam ekonomi Islam dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami. Sebagai contoh, pahala bermaksud sesuatu ganjaran yang diperolehi daripada Tuhan. Akan tetapi suatu perkara yang amat menyedihkan semasa pembentangan ialah soalan yang ditanya oleh pensyarah tidak dapat kami jawab kerana tidak mempunyai pengetahuan yang berkenaan disebabkan penyediaan yang tidak menyeluruh. Harap-harap hal ini tidak banyak mempengaruhi penilainan keseluruhan kami.

Saya telah dapat mengambil tahu kelemahan saya melalui projek menghasilkan produk. Saya mendapati bahawa saya kekurangan kreativiti, justeru ketika sesi perbincangan dengan ahli kumpulan yang lain tentang idea masing-masing, saya tidak mampu memberi cadangan yang bagus. Saya juga bersikap pendiam kerana saya malu bercakap di depan orang ramai. Walaubagaimanapun, saya diberi peluang untuk menghasilkan lakaran produk kami, iaitu pasu bunga. Saya sangat gembira kerana melukis merupakan suatu kerja yang boleh saya buat dengan agak yakin walaupun saya tidak menunjukkan bakat tinggi dalam bidang ini tetapi kerja ini semata-mata minat saya dan saya boleh membuat kerja ini sambil menikmati proses melukis lakaran. Saya sentiasa sedia menerima apa-apa komen daripada ahli kumpulan dengan hati yang terbuka. Tugasan saya juga termasuklah mengkaji corak yang sesuai untuk menghiaskan pasu bunga kami. Saya telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 bunga yang berkaitan dengan masyarakat Cina dengan melampirkan makna yang diwakili oleh setiap bunga agar ahli kumpulan saya boleh mengundi untuk bunga yang dianggap paling sesuai untuk dijadikan hiasan pada pasu bunga kita. Masalah-masalah yang dihadapi ialah: tiada kemudahan internet untuk mencari maklumat dan maklumat adalah dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, saya terpaksa menterjemah isi yang didapati kepada bahasa Melayu sebelum saya boleh memasukkan kandungan tersebut ke dalam lampiran proposal kami. Selepas berbincang dengan ahli kumpulan, bunga orkid merupakan hiasan pilihan kami.


Saya berpendapat bahawa kelebihan yang saya memaparkan dalam projek ini ialah saya mampu memberi komitmen yang tinggi kepada ahli yang lain, contohnya saya cuba menghadiri setiap perjumpaan dengan ahli kumpulan untuk membincangkan isi kandungan pembentangan dan juga ketika membuat projek pasu bunga. Bagi mengatasi kelemahan saya iaitu kurang kreativiti, saya mungkin boleh banyak membuat latihan brainstorming dengan rakan-rakan. Saya juga harus banyak berlatih bercakap di depan orang ramai dan berani menyuarakan pendapat yang berbeza dengan orang lain.

Selepas menyaksikan pitching mengenai produk kumpulan masing-masing, saya berasa amat bangga dan bersyukur kerana berpeluang menghayati pelbagai jenis kreativiti serta idea inovasi. Saya telahpun berpeluang mempelajari teknik pitching yang tepat dan berkesan ketika ingin mempromosikan produk. Terdapat pelbagai idea yang amat mengkagumkan telah dibentangkan dalam kuliah seperti kertas kitar semula ‘Dari Hati Ke Hati’, tanglung, jam 360°, origami, teleskop dan sebagainya. Idea-idea tersebut merupakan idea yang tidak mampu saya fikirkan tetapi mereka bukan sahaja semata-mata dapat menjana idea sahaja, lebih-lebih lagi mereka telah berjaya menghasilkan produk dan mempamerkan di depan saya. Sesetengah produk, bagi saya, adalah sangat kreatif dan tidak dapat saya lupakan. Sebagai contoh, saya tidak menyangka kumpulan yang menghasilkan jam 360° boleh mengaitkan produk mereka kepada pendidikan khas. Jam mereka sangat menarik perhatian saya kerana dekorasi yang berwarna-warni dan saya berasa mereka sangat berjaya dalam menghasilkan sesuatu yang dapat menarik perhatian kanak-kanak. Selain itu, saya amat kagum dengan idea menggunakan bekas potato chips untuk menghasilkan teleskop kerana bahan yang digunakan adalah begitu biasa dijumpai dalam kehidupan harian kita. Saya juga mempunyai tanggapan yang baik terhadap kepetahan pembentang kumpulan tersebut ketika beliau dengan begitu lantang dan tenangnya menjawab soalan satu demi satu daripada para juri. Di samping itu, satu lagi produk yang berjaya menarik perhatian saya ialah produk ‘Dari Hati Ke Hati’. Idea kertas kitar semula ini walaupun bukan idea yang baru, malah saya sendiri juga pernah menghasilkan kertas kitar semula semasa saya masih belajar di Tahun 6, tetapi saya tidak pernah sangka bahawa kertas kitar semula boleh dimasukkan ke dalam printer! Hal ini kerana selama ini saya menganggap kertas kitar semula bersifat agak keras dan tidak menyerupai kertas putih biasa dan mudah koyak. Inilah sebabnya saya terperanjat apabila saya melihat hasil buku printed mereka adalah diperbuat daripada kertas kitar semula semata-mata.


Akhir kata, saya berasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menyuarakan pendapat saya tentang hasil pembelajaran dalam kursus TITAS ini. Apabila saya mendengar kepujian tinggi daripada juri-juri terhadap kesemua produk yang dibentang dalam kuliah, saya berasa segala-gala yang saya dan juga kawan-kawan sekalian lalui adalah sangat berharga dan kami tidak pernah menyesal dengan apa yang telah kami buat walaupun kerja tersebut betapa susah mana pun, kami akhirnya dapat menghasilkan apa yang didugai.

No comments:

Post a Comment