Refleksi Individu
Oleh : Musfirah binti Roslan
A150435
Assalamualaikum saya
ucapkan sebagai permulaan untuk refleksi individu bagi kursus LMCW2163 Tamadun
Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi
peluang untuk berada dalam kursus ini dan belajar untuk mengenali beberapa jenis
tamadun yang pernah bertapak di dunia ini, khususnya tamadun Asia dan tamadun
Islam sendiri.
Untuk permulaan kursus
ini, kami telah diberi pendedahan tentang tamadun Islam dan tamadun Asia
menerusi sesi pembelajaran dan pengajaran. Menerusi pendedahan itu, saya telah
mempelajari banyak perkara tentang tamadun. Penubuhan tamadun memerlukan
beberapa faktor yang perlu dititikberatkan. Saya juga dapat mengetahui bahawa
setiap tamadun mempunyai keistimewaan dan kelainannya yang tersendiri yang
menjadikan sesebuah tamadun itu berjaya.
Tugasan pertama yang
saya terima untuk kursus ini adalah tugasan “capture scene” di mana kami
diminta oleh pensyarah kami iaitu Puan Hazwani untuk menangkap gambar di
sekitar saya pada waktu tertentu lalu mengaitkannya dengan perkembangan
tamadun. Pada mulanya arahan yang diberikan agak mengelirukan, namun setelah
mengadakan perjumpaan saya lebih memahami tugasan yang perlu disiapkan. Puan
Hazwani juga telah memberikan peluang kedua untuk kami perbaiki
kesalahan pada peringkat pertama. Alhamdulillah peringkat kedua, tugasan dapat
disiapkan dengan baik. Saya telah menangkap gambar sebuah perlawanan hoki
antara kolej di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandangkan saya bertugas
sebagai pembantu perubatan di perlawanan tersebut pada tempoh waktu yang
pensyarah telah tetapkan. Saya mengaitkan bagaimana sebuah permainan dapat
mengeratkan hubungan sesama masyarakat dan mewujudkan suasana yang harmoni
lantas menunjukkan berlakunya perkembangan tamadun.
Tugasan yang kedua
saya terima adalah pembentangan secara berkumpulan tentang perkara berkaitan
tamadun. Berdasarkan senarai tajuk yang telah pensyarah sediakan, kumpulan saya
telah bersepakat untuk membentangkan tentang Konsep Ekonomi Islam. Melalui
proses dalam penyediaan pembentangan, saya dan ahli kumpulan telah berjaya
mengkaji dan memahami dengan lebih mendalam tentang Konsep Ekonomi Islam. Kami
juga dapat sedikit sebanyak pengetahuan tentang sejarah matawang Islam dan apa
kegunaan matawang pada zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin. Saya juga turut
tertarik dengan gaya pemerintahan Khalifah Umar RA dalam memimpin dan membentuk
sebuah pentadbiran yang efisien. Khalifah Umar merupakan pemimpin yang
berkaliber dan mempunyai daya fikiran yang kreatif dan kritis dalam menjaga
kepentingan rakyat.
Tugasan yang ketiga
ialah penghasilan produk. Kumpulan kami telah memilih untuk mencipta pasu yang
diinspirasikan dari tamadun Cina. Penghasilan produk ini merupakan usahasama
kami sekumpulan dengan menggunakan bahan-bahan terpakai seperti botol plastik
dan surat khabar. Sebagai bahan tambahan kami juga telah menggunakan gam, pita
pelekat, kapur, air dan berus. Kami menggunakan teknik carik dan tampal. Untuk
mengukuhkan struktur pasu berkenaan, kami telah menggunakan kertas surat khabar
lama dan tampal menggunakan gam. Pembuatan pasu amat terkenal pada zaman
tamadun Cina dan ia merupakan tinggalan sejarah yang amat berharga, malah mampu
mencecah nilai jutaan ringgit untuk setiap penemuan pada masa kini. Pada
permukaan pasu tersebut, kami juga telah melukiskan gambar bunga tulip dan
tulisan kanji sebagai simbolik bahawa pasu itu menggambarkan dari era tamadun
Cina.
Tugasan yang terakhir
ialah pitching. Kumpulan kami telah sebulat suara memilih Layla sebagai
pembentang kerana potensinya dalam menyampaikan informasi yang padat dan baik.
Aktiviti pitching telah berjalan dengan baik sehinggakan tetamu jemputan turut
berasa seronok dengan pembentangan dari semua kumpulan yang terlibat. Penjanaan
idea dalam merealisasikan produk telah menarik minat para juri untuk mendengar
persembahan poster dari setiap kumpulan dan alhamdulillah semuanya telah
berjalan dengan baik. Saya juga telah mendapat banyak informasi baru.
Saya mendapati bahawa
kekuatan (Strength) saya terletak pada kerja berkumpulan. Saya amat
seronok dan teruja setiap kali berpeluang untuk melakukan kerja secara
berkumpulan. Dari situ, saya dapat membentuk keperibadian diri dan
meningkatkan soft skill yang perlu ada untuk kepentingan masa
hadapan. Pensyarah juga telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk bergerak
bersama dalam satu kumpulan yang kecil. Peluang (Opportunity) yang
diberikan oleh pensyarah telah kami gunakan sebaik mungkin untuk memilih tajuk
yang sesuai dengan keupayaan kami untuk dipersembahkan di hadapan dewan kuliah.
Antara, kelemahan (Weakness) yang kami hadapi adalah kekangan waktu
untuk melakukan perjumpaan memandangkan sebahagian kami berbeza fakulti dan
kolej. Meskipun begitu, kami berjaya mengatasi masalah kami dengan baik, di
samping turut menggunakan media sosial seperti aplikasi whatsapp dan facebook sebagai
medium interaksi antara kami. Seterusnya, ancaman (Threat) yang saya
hadapi sepanjang aktiviti dalam kursus ini ialah pembuatan produk kumpulan
kami. Pada mulanya saya runsing untuk menggunakan bahan jenis apa dan bagaimana
cara untuk membina sebuah pasu namun setelah berbincang dengan ahli kumpulan,
kami akhirnya berjaya mengatasi masalah tersebut dan hasilnya telah pun siap
dibina.
Konklusinya, kursus
tamadun Islam dan tamadun Asia ini telah banyak memberi manfaat kepada saya dan
rakan-rakan dari segi penambahan ilmu pengetahuan, penerapan kerja berkumpulan
dan penjanaan idea yang kreatif dan kritis. Akhir kata, semoga kursus ini dapat
terus beri manfaat kepada mahasiswa akan datang.
No comments:
Post a Comment