REFLEKSI
INDIVIDU
OLEH:
WAN NUR FILZAH BINTI WAN RAMLI A149463
Assalamualaikum saya ucapkan bagi pembuka kata untuk
refleksi individu yang kedua bagi kursus
LMCW 2163 Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Syukur ke hadrat Ilahi kerana
saya berpeluang untuk memberi pendapat dan pandangan mengenai pembelajaran dan
pembentangan pada minggu ini melalui refleksi ini. Untuk pembentangan yang
telah dijalankan ini, ia telah memberi banyak manfaat dan ia telah menjadi satu
proses pembelajaran yang sangat menarik .
Untuk tugasan terakhir kami, kami telah diberi tugasan
oleh Puan Fatin Hazwani untuk membuat satu produk yang berinspirasikan dari
mana-mana ketamadunan dunia. Seperti yang dinyatakan dalam refleksi saya
sebelum ini, kumpulan kami telah bersetuju untuk membuat produk yang
berinspirasikan tamadun Cina iaitu pasu aneka corak. Kami memilih produk ini
kerana pada zaman ketamadunan Cina, pasu adalah barang perhiasan yang sangat
bernilai bagi mereka. Corak bunga seperti orkid dan serta kaligrafi cina telah
digunakan untuk melambangkan seni hias yang menarik pada tamadun Cina. Pasu
yang terkenal pada ketika itu adalah diperbuat daripada tembikar atau porselin.
Namun disebabkan bahan mentah tembikar dan porselin susah untuk didapati, maka
kami telah mencari alternatif lain untuk menghasilkan produk pasu aneka corak
kami ini. Oleh itu, kami telah mengaplikasikan guna pakai semula barang-barang
yang tidak terpakai seperti botol minuman dan surat khabar lama untuk membuat
pasu aneka corak ini.
Produk kami ini juga boleh membuatkan sesebuah keluarga
untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dengan bersama-sama
menghasilkan pasu aneka corak ini kerana ianya sangat mudah untuk dibuat. Konsep
kitar semula juga boleh diaplikasikan dalam mendidik anak-anak supaya mengguna
pakai balik barang-barang lama dan tidak terpakai untuk mengelakkan pembaziran
berlaku. Para ibu boleh menggunakan masa lapang mereka untuk mengajar anak-anak
untuk membuat pasu ini dengan menggunakan surat khabar lama dan botol-botol
minuman. Secara tak langsung juga pembuatan pasu aneka corak ini boleh
menjimatkan kos serta boleh dijadikan perhiasan rumah sama seperti pasu-pasu
biasa yang lain.
Pada hari pembentangan produk tersebut, setiap kumpulan
telah mempamerkan hasil produk buatan mereka yang berinspirasikan daripada pelbagai
tamadun. Terdapat pelbagai jenis produk yang menarik yang telah dihasilkan oleh
mereka. Antaranya ialah jam dinding, buku origami, tanglung, teleskop, kertas
kitar semula dan sebagainya. Di sini menunjukkan setiap kumpulan telah
menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menghasilkan produk mereka
serta telah berjaya membuat para juri berasa kagum dengan ciptaan produk
masing-masing. Setiap ahli kumpulan betul-betul menghayati setiap tamadun yang
digunakan untuk menjadikan inspirasi dengan begitu baik sekali sehingga dapat
mengaitkan tamadun-tamadun tersebut dengan produk mereka yang kita tidak sangka
dapat memberi sumbangan yang besar pada masyarakat akan datang kelak. Sebagai
contohnya seperti jam dinding dan buku origami. Disebabkan ahli-ahli dua
kumpulan tersebut merupakan majoriti pelajarnya
daripada Fakulti Pendidikan, maka mereka telah menciptakan hasil produk
mereka yang dapat membantu untuk pembelajaran pada masa akan datang iaitu
digunakan sebagai alat bantu mengajar. Dengan alat bantu mengajar ini mereka
dapat menolong kanak-kanak untuk cepat memahami sesuatu pembelajaran itu dengan
lebih efektif.
Namun, semasa pembentangan sedang dijalankan, terdapat
sedikit masalah teknikal iaitu mikrofon tidak dapat berfungsi dengan baik. Maka
masalah ini telah menyebabkan beberapa pelajar yang berada jauh dari tempat
pembentangan tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh
pembentang serta menyebabkan mereka tidak dapat fokus dengan sepenuhnya sepanjang
pembentangan berlaku. Masalah teknikal ini juga mengakibatkan hanya sedikit
input yang boleh diambil oleh pelajar-pelajar mengenai inspirasi ketamadunan
dengan produk penghasilan pembentang. Oleh itu, tindakan yang boleh diambil
oleh para pembentang sebelum bermulanya pembentangan ialah memastikan semua
peralatan elektronik berada dalam keadaan yang baik supaya pelajar-pelajar
dapat fokus dan mendengar dengan teliti apa yang bakal dibentangkan oleh
mereka.
Secara kesimpulannya, kursus TITAS ini banyak memberi
kebaikan kepada saya dari segi menambah ilmu pengetahuan baru serta mengembangkan
daya kreativiti saya untuk menghasilkan produk pasu aneka corak ini. Saya juga
menjadi lebih berfikiran terbuka untuk menerima pandangan dan pendapat orang
lain untuk menambah baik sesuatu kerja dan keadaan ini sedikit sebanyak telah melatih
diri saya untuk menjadi seorang mahasiswi yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment