Thursday, 10 December 2015

REFLEKSI INDIVIDU

( Oleh Siti Aminah Binti Soh  A144593)

     Secara umumnya, proses pembelajaran dan pengajaran dalam kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) meliputi pengenalan ilmu ketamadunan, Tamadun Islam, Tamadun Melayu, Tamadun India, Tamadun Cina dan isu-isu ketamadunan masa kini. Bagi memahami dan mempelajari kursus ini dengan lebih mendalam, saya telah membuat photocopy buku TITAS daripada kawan saya yang telah mengambil kursus ini pada semester yang lepas bagi kegunaan pembacaan dan pembelajaran saya untuk lebih memahami tentang tamadun-tamadun yang telah lama wujud di muka bumi ini. Hal ini secara tidak langsung menyedarkan saya bahawa sesuatu tamadun untuk berkembang bukan perkara yang mudah dan cepat. Hal ini kerana masyarakat terdahulu dengan sedaya upaya berfikir secara kreatif dan inovatif bagi memastikan masyarakat mereka berkembang dalam pelbagi aspek terutamanya dalam bidang ekonomi kerana bidang ini dapat membantu mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik dan selesa seperti yang kita alami dan rasai sekarang ini.

    Tugasan pertama yang diberikan oleh pensyarah kami adalah ‘capture scene’. Kami dikehendaki mengambil satu gambar dan menghuraikan gambar tersebut dengan mengaitkannya dengan perkembangan tamadun. Pada awalnya kami sekelas telah salah tafsir tentang tugasan ini menyebabkan kami terpaksa membuat semula dengan mengambil gambar yang baru dan memikirkan idea yang baru yang boleh mengaitkannya dengan perkembangan tamadun. Kami dikehendaki mengambil gambar pada hari dan tarikh yang sama dan masa yang telah ditetapkan oleh pensyarah kami. Kebetulan pada hari itu saya menyertai sukan bowling padang di Klang dan saya mendapat idea untuk menggunakan sukan sebagai tajuk tugasan saya. Saya dan rakan sepasukan telah mengambil gambar sebelum pulang ke UKM. Oleh itu, saya telah menjadikan gambar itu sebagai bukti bagi tugasan ini dan dapat menghuraikannya dengan baik.

    Tugasan kedua yang kami terima daripada pensyarah kami adalah tugasan pembentangan mengikut bab dalam buku TITAS. Kami sekumpulan bersepakat memilih tajuk ekonomi islam. Kami memilih tajuk ini kerana kami pernah membaca dan membuat peta minda tentang ekonomi islam daripada buku TITAS semasa Dr. Najah menggantikan Puan Fatin yang tidak sihat ketika itu. Walaupun kumpulan kami tidak sempat membentangkan tentang tajuk ini, namun kami telah menyiapkan peta minda itu dan memuatnaikkan tugasan di iFolio.ukm untuk berkongsi maklumat dengan rakan sekelas yang lain. Ahli kumpulan yang lain juga  telah memuatnaikkan peta minda masing-masing untuk dikongsikan hasil tugasan yang dapat memberikan kami ilmu yang baru dan bermanfaat untuk dipelajari bersama.

    Tugasan yang terakhir adalah pembentangan projek. Kami memilih pasu aneka corak sebagai produk kami yang diinspirasikn daripada Tamadun Cina kerana tamadun ini terkenal dengan seni lukis, seni kaligrafi, seni muzik dan seni bina. Selain daripada menghasilkan produk, kami juga dikehendaki membuat poster tentang produk kami untuk dibentangkan dalam kuliah yang akan datang yang telah ditetapkan oleh pensyarah kami. Kami juga bersepakat memilih hiasan bunga orkid sebagai simbol bunga dalam masyarakat Cina. Kami telah membahagikn tugasan ini dengan adil kepada dua pasukan iaitu satu pasukan akan menghasilkan produk manakala pasukan yang lain akan membuat poster. Setiap ahli pasukan memberikan kerjasama yang baik bagi menyiapkan projek ini tepat pada masanya. Walaupun kami berbeza kursus program iaitu Forensik dan Mikrobiologi dan juga berbeza kolej, kami mampu melaksanakan tugas masing-masing kerana kami saling bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain serta membetulkan kesilapan sekiranya ada dan saling bertukar-tukar idea dan pendapat bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

    Konklusinya, saya berasa sanagt terharu dan bangga kerana dapat mengambil kursus TITAS ini kerana saya banyak belajar tentang tamadun-tamadun saya tidak ketahui secara terperinci selama ini. Saya juga diberi peluang untuk mengenali rakan-rakan daripada pelbagai kursus program yang mempunyai perwatakan yang senang untuk didampingi. Melalui projek untuk menghasilkan produk, saya diberi peluang untuk berfikir secara kreatif, inovatif dan kritis bagi menyelesaikan dan menyiapkan tugasan yang diberikan tepat pada masanya. Aspek yang paling penting yang saya pelajari adalah kerjasama dan komitmen yang tinggi amat penting dan memberi manfaat apabila kita bekerja dalam pasukan atau kumpulan. Saya berharap saya dan rakan-rakan yang lain dapat mengaplikasikan segala ilmu yang telah kita pelajari supaya dapat memberi sumbangan terhadap perkembangan masyarakat dan negara pada masa hadapan.


No comments:

Post a Comment